Saturday, August 6, 2011

Muhasabah Ramadhan - Misi Memburu 'pahala'


“ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” demikian yang sering kita doakan sebelum ketibaan bulan Ramadhan.

Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam kerana dengan limpah kurniaNya, kita dipanjangkan usia sehingga bertemu lagi dengan bulan Ramadhan tatkala ramai dalam kalangan sahabat-sahabat dan kaum keluarga yang telah pergi terlebih awal dijemput oleh Nya.

Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmah, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka.

Kini sudah seminggu kita berpuasa. Ini bermakna kita masih pada fasa pertama Ramadhan iaitu fasa "Rahmat" dan akan meninggalkan kita beberapa hari lagi. Sepuluh hari yang awal ini, kita mendambakan rahmah, belas kasihan daripada Allah SWT. Di hari mendatang, pintu maghfirah Allah SWT terbuka luas menunggu kepulangan hamba-hamba-Nya.

Pada penghujung fasa pertama ini semoleknya kita menilai semula pencapaian kita dalam melayani bulan yang amat istimewa anugerahNya ini. Untuk itu, kita boleh mengambil iktibar dari sebuah kisah yang dinukilkan oleh Sheikh Said Hawa mengenai Al-Hasan bin Abul Hasan al-Bishri. Bahawa beliau ini pada suatu ketika di bulan Ramadhan berjalan melalui satu kelompok manusia yang sedang tertawa sambil bersenda gurau, kemudian al-Hasan berkata:

“Sesungguhnya Allah azzawajalla menjadikan Ramadhan sebagai bahan ujian yang tersembunyi bagi seluruh makhluk-Nya. Semua orang sama berlumba-lumba, atau dahulu-mendahului untuk berbuat ketaatan kepada Allah SWT. Kemudian ada golongan yang dapat mendahului golongan lain, merekalah orang-orang yang beruntung dan berjaya. Sedang golongan lain ada yang tertinggal di belakang dan mereka itulah orang-orang yang menyesal dan merasa mendapat kerugian yang besar. Oleh sebab itu adalah hairan sehairan-hairannya ketika saya melihat ada orang yang tertawa, bermain-main pada hari seperti sekarang ini dalam bulan Ramadhan, padahal di saat ini adalah hari sebahagian manusia menjadi beruntung dan berjaya, sedangkan ada sebahagian manusia lainnya yang merasa rugi dan menyesal. Yang berbahagia ialah orang-orang yang mendahului kawan-kawannya untuk mentaati Zat Yang Maha Pencipta, dan yang rugi ialah orang yang hanya gemar melakukan kebatilan dan pekerjaan sia-sia.”

Setelah melalui tempoh fasa pertama Ramadahan, eloklah kita berhenti sejenak, menilai prestasi kita dalam hari2 yang telah berlalu. Antara soalan yang boleh kita tanyakan diri kita ialah:

1. Sudahkah kita memanfaatkan sebaik-baiknya kehadiran bulan Ramadhan yang penuh berkat ini dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat? Sebelum beramal pastikah kita telah membaca dan memahami amalan yang akan dilakukan itu?

2. Sudahkah kita cuba sedaya upaya mencantikkan puasa kita? Semasa beramal adakah amalan dapat dilaksanakan sesempurna mungkin? Adakah kita saling pesan memesan?

3. Sudahkan kita memastikan seluruh keluarga kita sama-sama menikmati keberkatan Ramadhan ini?

4. Sudahkah kita mencapai tahap minimum pembacaan al-Quran setiap harii? Jika standard kita ialah satu juzuk sehari, maka kini sepatutnya kita telah melebihi tujuh juzuk.

5. Sudahkan kita memastikan sunat-sunat puasa seperti bersahur disempurnakan? Bagaimana Qiamullail kita ?

6. Sudahkah kita memastikan kita tetap istiqamah dengan solat tarawih dan berazam untuk meneruskannya hungga ke hujung Ramadhan?

7. Sejauh manakah Ramadhan kita tahun ini lebih baik dari Ramadhan yang lepas?

8. Setakat mana kita sudah memanfaatkan ilmu, masa, umur, dan harta benda yang dikurniakan oleh Allah SWT ini ke jalanNYA?

9. Besyukurlah (lakukan sujud syukur) jika kita dapat melaksanakan amalan sasaran kita dengan baik dan beristighfarlah jika tidak dapat melaksanakan amalan tersebut.

Senarai semak ini bukan dilakukan untuk menghitung pahala tetapi sekadar peringatan dan mempermudah kita untuk muhasabah dan menghitung diri sejauh mana amalan-amalan yang kita laksanakan sepanjang Ramadhan ini. Lakukan amalan-amalan dengan penuh keikhlasan dan keinsafan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Cuba kita hisab kembali apakah hasil yang kita dapati sepanjang fasa pertama yang bakal berlalu. Layakkah untuk kita mendapatkan janji Allah untuk fasa pertama iaitu rahmat kasih sayang-Nya. Bagi mereka yang alpa dan masih lagi tidak menyedari bahawa Ramadhan telah pun menghampiri pertengahannya, marilah sama-sama kita merebut peluang yang masih bersisa ini agar kita tergolong dalam golongan orang-orang yang bertaqwa sesudah berlalunya Ramadhan. Anggaplah Ramadhan kali ini adalah yang terakhir buat kita kerana belum pasti lagi sama ada kita dapat mengecapi Ramadhan yang akan datang.. Wallau'alam..



"YA ALLAH, BERILAH KESEMPATAN KEPADA KAMI UNTUK BERADA DALAM BULAN MULIA INI. YA ALLAH, BERILAH KEPADA KAMI SEGALA KEBERKATAN DALAM BULAN YANG MULIA INI, YA ALLAH, TAMBAHI AMALAN KAMI, PERMUDAH KAMI UNTUK BERAMAL. YA, ALLAH BAIKI AKHLAK DAN SIKAP KAMI AGAR TERHIAS PADA DIRI KAMI AKHLAK ISLAM.

YA ALLAH, TERIMALAH AMALAN KAMI YANG KERDIL DAN BERGELUMANG DENGAN DOSA INI. AMPUNILAH KAMI SEBAGAIMANA ENGKAU MENGAMPUNKAN UMAT YANG TERDAHULU. SESUNGGUHNYA KAMI SANGAT BERGEMBIRA DENGAN BULAN RAMADHAN INI. KAMI SEDAR SABDA RASULMU BAHAWA...MEREKA YANG GEMBIRA MENYAMBUT RAMADHAN, ENGKAU HARAMKAN DARI API NERAKA. OLEH ITU KAMI MEMOHON SEPENUH HATI SEMOGA KAMI JUGA ENGKAU JAUHKAN DARI AZAB API NERAKA..

AMIN....

No comments:

Post a Comment