Sunday, July 31, 2011

Mengapa Tidak Terus Minum Daripada Kendinya?



Tertarik dengan satu risalah yang diterima daripada seorang rakan dari salah satu pasentren di indonesia. Risalah tersebut menceritakan sebuah kisah berkenaan pertemuan seorang pemuda yang mengaku bahawa dia adalah pengikut ajaran Salaf dengan seorang Kiyai @ Tuan Guru di sebuah pesantren di Indonesia.

Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Kiyai tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah. Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.

Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Kiyai tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda sekarang yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut ajaran Salaf , yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah menuduh bahawa para ulama sekarang banyak membawa Bid’ah dan sebagainya.

Benarlah kata para ulama :

Di sini saya akan mengolah semula cerita tersebut sebagai panduan kepada kita semua. Kisahnya begini :

Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.

Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?

Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.

Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?

Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.

Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”

Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”

Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,

Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?

Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?

Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .

Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.

Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.

Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.

Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?

Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.

Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.

Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?

Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.

Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?

Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?

Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.

Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.

Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?

Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”

Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”

Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”

Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.

Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .

Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.

Rindu Kasih Menguntum Ibadah


Iman ini pasti bergetar
Kerinduan jiwa terubat kini
Kita tersenyum…
Damai dalam dakapan ramadhan

Rindu kasih menguntum ibadah
Sepertiga malam terang hingga arasy
Zikir-zikir beralun
Saat burung mengepakkan sayapnya
Saat lautan menghempas pantai
Saat pepohon melambai bayu

Ramadhan….
Senyum kasih padamu
Angin rindu datang jua
Tidak lama…tapi perlu diraikan
Dikumpul segala bekalan
Detik-detik ini bermakna bersamamu

Ramadhan….
Mega itu cerah menyambutmu
Berair hujan rahmat
Berpanas dalam nikmat

Apa saja…pasti dan pasti
Kami tetap suarakan rindu dan kasih
Pada saat bermula
Hingga titisan air mata
Tidak mahu berpisah denganmu…Ramadhan


Zaimi (1 Ramadhan)

Sunday, July 24, 2011

Kasih Ramadhan



Angin nyaman itu kian terasa
Angin rindu memeluk jiwa
Ramadhan ramadhan
Ahlan wasahlan ya ramadhan
Kau datang seribu doa ditatang
Sejuta harapan amal dan ibadah dibentangkan
Saat segala syaitan dirantai
Pintu-pintu syurga luas dipancarkan
Yaaa ramadhan…
Gementar kami menantimu
Rindu ini….membeku lama
Akan cair jua dalam dodoianmu

Yaaa ramadhan…
Dengarkan gema hati seorang ummat
Seorang hamba yang menghimpun dosa
Dari detik demi detik
Dari titis embun hingga senja
Bakal mencurah air mata kasih
Ramadhan-ramadhan , kasih-kasih
Kasih pada ibadah , kasih pada Allah
Kasih pada sedekah , kasih pada rumahNYA

Yaa ramadhan…yaa ramadhan…ya ramadhan
Doa kami..semoga kita bertemu nanti
Bertemu dari keampunannya
Berpaut pada magfirahnya
Hinggalah kepada pembebasan api neraka
Kami menantimu dengan penuh kecintaan..

Monday, July 18, 2011

Demam Peperiksaan


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Bagaimana dengan persiapan adik-adik? Master harap adik-adik sudah pun berSEDIA AWAL sebelum tiba hari yang dinanti-nantikan. Bagi yang belum berSEDIA AWAL, apa tunggu lagi? Masa tidak akan menunggu kita adik-adik, jangan dibazirkan masa yang ada

Pepatah arab ada mengatakan bahawa ‘Masa ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita’.

Kesempatan ini Master kongsikan bersama adik-adik beberapa perkara penting sebagai perSEDIAan AWAL sebelum adik– adik melangkahkan kaki ke dalam dewan peperiksaan.

Kita pasti pernah mendengar perkataan tension atau tekanan terutamanya pada hari-hari menjelang peperiksaan. Suhu badan pada ketika itu agak tinggi,
kadang-kadang melebihi 38˚C. Ramai pelajar merungut mereka terancam oleh kegelisahan jiwa. Jiwa tidak tenang.

Mereka merasa gelisah dan tertekan. Kedamaian dan ketenteraman tidak ada lagi di dalam diri. Ada pula yang merasakan bahawa mereka sudah menjadi ‘Bom Jangka’ yang bakal meledak bila-bila masa.

Mengapa hal ini boleh terjadi? Mengapakah perasaan ini dapat menular ketika hari yang amat penting hampir dekat? Hal ini adalah satu masalah yang sering menghantui pelajar.
‘Demam Peperiksaan’ ini dapat diatasi asalkan kita tahu teknik tepat untuk mengelakkanya.

Tahukah adik-adik?
‘Demam Peperiksaan’ berpunca daripada tekanan. Tekanan pula berpunca daripada beberapa sebab. Antaranya ia bermula dari dalam diri kita ataupun disebabkan oleh faktor persekitaran kita. Ramai pelajar bertindak secara negatif bagi mengatasinya. Antara tindakan itu adalah :

1. Merokok
2. Menjerit atau melolong
3. Mengusik kawan
4. Vandalisme
5. Melepak dan membuang masa
6. Mengambil pil perangsang dan dadah

Tindakan-tindakan di atas tidak dapat mengatasi tekanan. Malah ia menjadi semakin parah dan menggagalkan adik-adik. Bukan sahaja dalam peperiksaan malah dalam kehidupan. Oleh itu, berhati-hatilah…….

apakah cara untuk mengatasinya? Tunggukan Bingkisan Motivasi KELUARAN MINGGU HADAPAN dengan TIPS ULANGKAJI BERKESAN serta satu lagi TIPS ’MAGNET A’ sebagai pecutan akhir sebelum anda melangkah masuk ke dalam DEWAN PEPERIKSAAN…...NANTIKAN KELUARANNYA!

Saturday, July 16, 2011

BINGKISAN MOTIVASI - MASTER ZAIMI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi.Bagaimana dengan persiapan adik-adik? Master harap adik-adik sudah pun berSEDIA AWAL sebelum tiba hari yang dinanti-nantikan. Bagi yang belum berSEDIA AWAL, apa tunggu lagi? Masa tidak akan menunggu kita adik-adik, jangan dibazirkan masa yang ada

Pepatah arab ada mengatakan bahawa ‘Masa ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita’.

Kesempatan ini Master kongsikan bersama adik-adik beberapa perkara penting sebagai perSEDIAan AWAL sebelum adik– adik melangkahkan kaki ke dalam dewan peperiksaan.

Kita pasti pernah mendengar perkataan tension atau tekanan terutamanya pada hari-hari menjelang peperiksaan. Suhu badan pada ketika itu agak tinggi, kadang-kadang melebihi 38˚C. Ramai pelajar merungut mereka terancam oleh kegelisahan jiwa. Jiwa tidak tenang.

Mereka merasa gelisah dan tertekan. Kedamaian dan ketenteraman tidak ada lagi di dalam diri. Ada pula yang merasakan bahawa mereka sudah menjadi ‘Bom Jangka’ yang bakal meledak bila-bila masa.

Mengapa hal ini boleh terjadi? Mengapakah perasaan ini dapat menular ketika hari yang amat penting hampir dekat? Hal ini sadalah satu masalah yang sering menghantui pelajar.

‘Demam Peperiksaan’ ini dapat diatasi asalkan kita tahu teknik tepat untuk mengelakkanya.

Tahukah adik-adik? ‘Demam Peperiksaan’ berpunca daripada tekanan. Tekanan pula berpunca daripada beberapa sebab. Antaranya ia bermula dari dalam diri kita ataupun disebabkan oleh faktor persekitaran kita. Ramai pelajar bertindak secara negatif bagi mengatasinya. Antara tindakan itu adalah :

1. Merokok
2. Mononton Televisyen secara berlebihan
3. Menjerit atau melolong
4. Mengusik kawan
5. Melepak dan membuang masa
6. Mengamnbil pil perangsang
7. Membuang masa dan sebagainya.


Tindakan di atas tidak dapat mengatasi tekanan. Malah ia menjadi semakin parah dan menggagalkan adik-adik. Bukan sahaja dalam peperiksaan malah dalam kehidupan.

Oleh itu, apakah cara untuk mengatasinya? Tunggukan Bingkisan Motivasi keluaran minggu hadapan.

Thursday, July 14, 2011

Sekadar Bebelan



 Dalam kehidupan, kadang kita bukan sekadar jatuh.
Tetapi, jatuh dan kelemasan. 
Lemas.

Tapi,
Bebel orang, walau kamu jatuh dan jatuh dan lalu lemas,
semakin dalam dan dalam,
dan semakin tenggelam ke dasar lantai laut,
Saat itu kita ada 2 pilihan :
Mahu terus terbaring tenggelam kelemasan di lantai laut,
atau
Kutip seberapa banyak Mutiara dan terus melonjak naik semula ke permukaan pantai!



Suhaib berkata : tatkala Rasulullah duduk bersama para sabahatnya, tiba-tiba baginda ketawa. Baginda bertanya : tidak mahukah kamu semua bertanya, perkara apa yang mebuatkan aku ketawa? Lalu para sahabat berkata : Wahai Rasulullah, perkara apakah yang menyebabkan kamu ketawa? Lantas Rasulullah bersabda : Aku teruja dengan urusan orang mukmin, sesungguhnya, segala urusannya , semuanya baik! Sekiranya dia diuji dengan apa yang disukainya, dia akan memuji Allah. Perkara itu baik baginya. Sekiranya dia diuji dengan perkara yang tidak disukainya, dia akan bersabar. Perkara itu juga baik baginya. Tidak ada seorang pun yang seluruh perbuatannya itu baik, kecuali bagi orang mukmin. 
[Musnad Imam Ahmad, Hadis Suhaib RA : 23814] 


p/s:
1) Di mana pun situasi kita sekarang (jatuh atau bangun) dan apapun 'rasa' yang kita lalui sekarang (suka atau duka), kesemuanya menyampaikan perkhabaran bahawa kita ini berTuhan
2) Tiada satupun takdir dan ketentuan Tuhan itu yang bersifat menzalimi manusia malah tiada juga di ciptakan sesuatu dengan sia-sia melainkan terselit hikmah dan berita gembira buat hamba-hamba yang mahu berfikir. (hatta kejadian sekecil kuman)
3) Indah kan menjadi mukmin? Keimanan memimpin kita untuk sentiasa dalam kerangka positif dan bahagia. 
4) Bebel orang, bukan sahaja 'Love is a verb, but keimanan too!"
5) Keep swimming!!!

 

Damba seorang hamba

بســـــــم الله الرحمان الرحيم

Dari alam KEGELAPAN membawa SINAR.
Mendaki bukit dan menuruni lembah,
MENYELUSURI sungai dan merempuh
gelombang lautan, meredah hutan, dan
memayungkan BAKARAN mentari demi
untuk generasi yang MENGHITUNG hari,
yang bakal menggarap WAJAH dan 
penampilan DIRI. merekalah yang akan
mewarnai dunia ini dengan MINDA murni
dan JIWA suci.
lantaran itu, bahtera ini sedia 
dilabuhkan di mana-mana jua DATARAN
dan PELABUHAN agar muatan ini dapat
dimiliki dan dihayati.
bahtera nama diberi. lebih 
sepuluh tahun berlalu berada dipersada ini,
untuk BERBAKTI dan menabur budi. moga
moga diterima dan diamal sebagai jariah
dikemudian hari demi membangunkan insan 
BERTAQWA di sisi ALLAH SWT.

Wednesday, July 13, 2011

PROGRAM GEGAR!! & GEMPAK!!

JOM RAMAI-RAMAI SERTAI DEBAT SANTAI YANG AKAN DISAMPAIKAN DALAM BENTUK SKETSA BERSAHAJA BERSULAM JENAKA ILMIAH....RUGI SIAPA TAK JOIN.....PERTAMA DI MELAKA MAJU, NEGERIKU SAYANG BANDAR TEKNOLOGI HIJAU.....

Tertunaikah amanahMU?

Sejak azali lamaran risikkanMU diqiamkan
Tidak terbina mahligai indah tanpa amalan
5 rukunMU bertapak tunjang aqidah
Bersyahadah hanya didirikan tapak
Dikukuh dengan tiang agama solat sujud padaMU
Agar tertegak istana itu dengan utuh

Ya Allah….
Ku ukir dengan ukiran kalamMU
Dalam dirian kearah syiar lambang penyatuan ummah
Sering ku diceritakan di syurga itu ada sungai madu
Ada jua telaga nabi kekasihMU
Airnya tertitis hilanglah haus saat menanti hisab dihitung
Adakala kenyangku melupai yang tidak mampu
Tidurku lena berulit penuh terisi
Namun satu bulan penuh rahmat
Dapat menyelami erti sabar , iman dan taqwa
Ramadhan menjelma…lalu ku tunaikan harta seorang hamba
Puasa….dalam salah satu rukun itu

Ya Allah….
Wukuf itu memutih bagai buih di lautan
Andai mampu kumiliki mewah dunia
Jika aku memiliki secebis usaha Cuma
seruanMU pasti tiba…baitullah melambai
rukun ke-4 pasti tertunai
berkatilah haji itu keranaMU
sebahagian dari ku jadikan istana gemerlapan
ku hulur hasilku yang bukan untukku
mereka sebahagian dari itu
ku lafaz pemberian zakat
lalu diakad yang berhak….
sempurnakah rukun islamku?tertunaikah amanahMU?


Lu'lu ilmaknun (30/06/2011)

Aku Tidak Mampu....

Tintaku tidak seindah kata-kata mawaddah
Melamar hatimu merisik indah
Kalamku tidak berbahasa damai
Merimbun dengan teduhan ukhwah
Aku tidak mampu membajai imanmu
Menggembur tanah-tanah taqwa

Sahabat…
Teratak kasihku tidak mampu berpaut teguh
Ada kala silatulrahim saudara ini teruji
Walaupun redha itu terhela
Namun masih goyah berlapang dada
Menuntut pengobanan hati bahkan jiwa rasa
Kerana nyata kita hanya seorang hamba
milikNYA..ada kala tersentak ujian

sahabat….
Bicaraku tidak mampu menawan hatimu
Cuba ku tutur dengan kata sabda
Ku alunkan hadis-hadis baginda
Bukan beerti aku mendabik dada
Cukuplah hadirnya aku mendekati dirimu
Pada yang esa..yang maha berkuasa

Sahabat….
Aku tidak mampu mengarang dirimu
Dengan alunan luhur
Kerana aku tidak mekar dalam merendah jiwa
Tidak sampai membentukmu senyum dalam ketetapan
Cukuplah adanya aku bisa mengamankan hatimu
Dengan janji-janjiNYA


Lu'lu ilmaknun (20/06/2011)

Pasti Pasti dan Pasti Suatu Hari Nanti

بســـــــم الله الرحمان الرحيم

Kekuatan itu bukan dari zahirnya
Ianya dalam jiwa..hati bertunjangkan iman
Berakarkan taqwa..hingga tersingkap rasa kehambaan
Dakwah itu tidak mudah
Dakwah itu pahit
Dakwah itu bagai kaca
Namun merah bak api membahang
Menyala segenap penjuru
Tiada suram tiada kelam
Tidak pernah longlai…perjuangan itu bukan ditabur harta
Tidak didulang permata
Tidak jugak ditapak wang ringgit
Tapi semuanya kerana Allah…

Perjuangan itu perit dan lama
Tapi indah syurga meniti
Perjuangan itu disiat-siat hati dan jiwa
Tapi didamaikan oleh janji Allah
Kalah itu pasti dulu dan kini…
Tapi tidak selamanya…kerana ketetapan itu milik Allah
Tertinta bait-bait firman Maha Esa
Islam pasti tertegak
Tidak kini….pasti pasti dan pasti suatu hari nanti

Ayuh…
Jiwa-jiwa yang terpilih
Berbahagialah saat ini diuji
Senyumlah dek luka dan duka
Madu itu akan hadir kerana kita penyambung
Rantai-rantai perjuangan
Teruskan langkah
Berjalan tanpa henti!!


Lu'lu ilmaknun (13/07/2011)